15 October 2010

Piala Malaysia 2010: Kelantan mara, Selangor rebah

KOTA BHARU - Stadium Sultan Muhammad ke 1V menyaksikan kemaraan pasukan Kelantan ke separuh akhir Piala Malaysia. Kemenangan 3-0 ke atas Selangor adalah sesuatu yang besar bagi mereka. Selangor bukan pasukan yang lemah, cuma nasib dan strategi permainan tidak menyebelahi mereka.

Gol pertama Kelantan diperolehi menerusi Nor Farhan yang bijak mengawal bola dan melepaskan tendangan kaki kiri ke penjuru atas sebelah kiri gol Selangor. Tendangan kencang yang dilepaskan semena-mena, dalam keadaan yang nampaknya tidak merbahaya gagal disentuh langsung oleh penjaga gol Selangor.

Gol kedua pula bermula dari Indra Putra yang mengutip bola lalu melintangkannya ke arah gol. Seperti diukur bola singgah tepat di kepala Akmal Rizal yang menanduk terus ke dalam gawang Selangor dari jarak yang agak jauh. Selepas itu gilaran Akmal pula melepaskan diri di celah-celah pemain Selangor  di sebelah kiri padang dan melambung cantik  di luar kotak penalti Selangor. Peluang itu disambar mudah oleh Badri Radzi untuk gol ketiga Kelantan.

Kemenangan itu jelas memberi kepuasan kepada penyokong Kelantan yang memenuhi setiap ruang stadium. Mereka seakan-akan terpaku dan enggan berganjak walaupun permainan telah tamat. Keadaan di Kota Bharu itu seakan-akan menggentarkan pemain Selangor. Mereka kelihatan kaku dan gementar pada separuh masa pertama sehingga dibolosi 2 kali. Setelah berada di separuh masa kedua barulah permainan Selangor kembali tersusun dan mereka mendapat beberapa peluang yang terhidang. tetapi nasib dan kecekapan khairul fahmi menjaga gawang menghalang kebangkitan mereka.

Apapun tahniah kepada kedua-dua pasukan. Menang kalah adat pertandingan. Semangat kesukanan yang ditunjukkan mereka yang patut dipuji. Kelantan mahupun Selangor tidak melakukan sebarang provokasi sesama mereka. Walaupun ada yang tersungkur tetapi mereka bangkit dan bersalam. Sikap penonton biasanya bermula dari gelagat pemain. Jika pemain melakukan provokasi atau melakukan sesuatu yang tidak elok seperti menyiku, maka penonton akan ikut melakukan perbuatan liar. Itulah yang patut dipelajari oleh Nor Syahrul Idlan Talaha.

Teropong - mengintai-intai penyokong Selangor di stadium

No comments:

Post a Comment