20 November 2010

Sukan Asia: Pasangan badminton gagal pertahan emas

GUANGZHOU- Walaupun nampak mudah pada set pertama, tetapi akhirnya pasangan utama negara terpaksa menyerahkan mahkota emas yang mereka pegang sebelum ini kepada pasangan Indonesia. Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ku sangka hebat hingga ke hujung, rupanya longlai di set kedua dan penentuan.

Itulah kesudahan cerita Koo Kean Kiat dan Tan Boon Heong yang terpaksa menelan kekalahan di tangan markus Kido dan Hendra Setiawan. Bagi teropong, kelemahan pasangan Malaysia bukan pada kebolehan, bukan pada stamina tetapi pada taktikal permainan. Mereka terlalu suka bermain secara bertahan. Membiarkan lawan melakukan smash seolah-olah mengundang maut. Selama mampu bertahan jika asyik dengan hantaran tanggung sahaja.

Ubah lah..belajar bagaimana cara supaya sentiasa berada di pihak menyerang. Itu yang perlu dikuasai. Pertahanan yang baik ialah dengan cara menyerang bukannya dengan membiarkan diserang pihak lawan.

Teropong rasa, kalau Koo dan Tan berjaya bermain secara menyerang sepanjang perlawanan, mereka akan menjadi sangat kuat. Mereka akan sukar dikalahkan. Mereka ada potensi yang baik..cuma taktik permainan yang perlu diubah. Taktik menyerang merupakan taktik yang sentiasa digunakan oleh pasangan handalan yang lain seperti pasangan China, Korea dan Indonesia yang telah menumpaskan mereka tadi.

Teropong - berubahlah kalau mahu menang

30 October 2010

Kelantan Juara Piala Malaysia 2010





TAHNIAH kepada pasukan Kelantan. Mereka berhak menjadi juara. begitu juga penyokong mereka yang tiada tolok bandingnya. Kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan telah menjulang Kelantan ke puncak persada bolasepak tanah air.


Stadium dipenuhi warna merah. Penyokong Kelantan benar-benar menakluki setiap ruang. Walaupun menempuh perjalanan yang jauh tetapi sorakan dan sokongan mereka tak pernah luntur. Tetapi pasukan Kelantan memulakan perlawanan dengan permainan yang bukan seperti biasa. Mereka mudah kehilangan bola dan terpaksa berlari mengejar pemain-pemain Negeri yang lebih bijak dan tangkas menyusun gerakan. Beberapa gerakan Negeri begitu membahayakan sekali ketika pemain Kelantan terkial-kial mencari rentak. Dalam kesibukan itulah, Khairul Fahmi terpaksa menghadiahkan sepakan penalti kepada Negeri. Shaharuain dengan yakin berjaya menempurnakan penalti tersebut.



Pada sbabak kedua, barulah Kelantan menemui rentak mereka. Mereka mula menguasai setiap perebutan bola dan melancarkan serangan yang bertali arus. Malang mula menimpa Negeri apabila aidlil terpaksa dikeluarkan kerana tercedera dalam menampan asakan pemain Kelantan. Peluang itu direbut sebaiknya oleh Kelantan. Hairuddin Omar menaikkan semangat pasukannya apabila menanduk masuk bola lambungan Idlan Talaha. Kemudian giliran Badri Radzi pula membocori gawang Negeri setelah mendapat lorongan kemas dari Farhan. Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat.


Dengan itu terciptalah satu rekod baru bagi bolasepak negeri Kelantan. Setelah mencuba bertahun akhirnya mereka berjaya menggapai piala keagungan tanahair itu. Semuanya hasil dedikasi, kesungguhan dan semangat juang pihak pengurusan, kejurulatihan dan pemain. Dan seperkara lagi yang menyumbang di atas kejayaan itu ialah penyokong mereka. Mereka sentiasa berarak dan memenuhi stadium di mana sahaja pasukan pujaan mereka bermain. Umpama tentera semut merah, aura mereka telah berjaya menaikkan semangat pasukan mereka di dalam setiap perlawanan. Tahniah Kelantan.

Teropong - seronok rakyat Kelantan dapat piala, esoknya dapat cuti umum pulak..kepada penyokong Kelantan yang ke Stadium, hati-hati dalam perjalanan pulang ke Kelantan

23 October 2010

Piala Malaysia: Kelantan mara ke akhir

SETELAH berhempas pulas akhirnya Kelantan berjaya merebut tiket untuk mara ke perlawanan akhir. Jaringan Norshahrul Idlan Talaha jelas menjadi pemisah antara kedua pasukan yang bersaing dengan sengit sepanjang 90 minit perlawanan.

Dari awal permainan Idlan Talaha telah menjadi duri dalam daging kepada pasukan Kedah. Gerakan dan percubaannya sentiasa mengecutkan perut penyokong Kedah. Pada lewat separuh masa kedua Norsharul Idlan telah mengambil tendangan sudut. Tendangan inswinger beliau deras melencong ke dalam gawang. Tanpa masa untuk berfikir Eddy Helmi cuba menampan bola itu, tetapi ianya terus melantun ke dalam gawang.

Selepas itu Kedah cuba untuk bangkit. Tetapi setiap ruang ditutup kemas oleh pemain-pemain Kelantan. Kemenangan itu adalah penwar kepada Jurulatih Kelantan, Sathia yang digantung 6 bulan oleh FAM kerana kenyataannya 3 bulan lepas.

Dalam satu lagi perlawanan Negeri Sembilan berjaya menumpaskan Johor FC 2-0. Dengan itu Negeri Sembilan akan mara ke final dengan agregat 2-1. Lawan Negeri Sembilan di akhir ialah pasukan Kelantan

Teropong - Gembila melihat penyokong Kedah dapat duduk dengan selamat di celah-celah penonton Kelantan

22 October 2010

Rooney kekal bersama 'Syaitan Merah'

AKHIRNYA Wayne Rooney membuat pusingan U untuk terus kekal di Old Trafford. Setelah melalui minggu yang sukar dan perbincangan yang serius Ferguson telah berjaya memujuk Rooney untuk menandatangani kontrak baru.

Kontrak 5 tahun itu akan mengikat Rooney untuk terus kekal sehingga 2015. Sebelum ini, berita berkaitan penyerang utama pasukan Syaitan merah itu telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan peminat mereka, sehingga ada yang mencemuh Rooney dan melemparkan tuduhan terhadap beliau.

15 October 2010

Piala Malaysia 2010: Kelantan mara, Selangor rebah

KOTA BHARU - Stadium Sultan Muhammad ke 1V menyaksikan kemaraan pasukan Kelantan ke separuh akhir Piala Malaysia. Kemenangan 3-0 ke atas Selangor adalah sesuatu yang besar bagi mereka. Selangor bukan pasukan yang lemah, cuma nasib dan strategi permainan tidak menyebelahi mereka.

Gol pertama Kelantan diperolehi menerusi Nor Farhan yang bijak mengawal bola dan melepaskan tendangan kaki kiri ke penjuru atas sebelah kiri gol Selangor. Tendangan kencang yang dilepaskan semena-mena, dalam keadaan yang nampaknya tidak merbahaya gagal disentuh langsung oleh penjaga gol Selangor.

Gol kedua pula bermula dari Indra Putra yang mengutip bola lalu melintangkannya ke arah gol. Seperti diukur bola singgah tepat di kepala Akmal Rizal yang menanduk terus ke dalam gawang Selangor dari jarak yang agak jauh. Selepas itu gilaran Akmal pula melepaskan diri di celah-celah pemain Selangor  di sebelah kiri padang dan melambung cantik  di luar kotak penalti Selangor. Peluang itu disambar mudah oleh Badri Radzi untuk gol ketiga Kelantan.

Kemenangan itu jelas memberi kepuasan kepada penyokong Kelantan yang memenuhi setiap ruang stadium. Mereka seakan-akan terpaku dan enggan berganjak walaupun permainan telah tamat. Keadaan di Kota Bharu itu seakan-akan menggentarkan pemain Selangor. Mereka kelihatan kaku dan gementar pada separuh masa pertama sehingga dibolosi 2 kali. Setelah berada di separuh masa kedua barulah permainan Selangor kembali tersusun dan mereka mendapat beberapa peluang yang terhidang. tetapi nasib dan kecekapan khairul fahmi menjaga gawang menghalang kebangkitan mereka.

Apapun tahniah kepada kedua-dua pasukan. Menang kalah adat pertandingan. Semangat kesukanan yang ditunjukkan mereka yang patut dipuji. Kelantan mahupun Selangor tidak melakukan sebarang provokasi sesama mereka. Walaupun ada yang tersungkur tetapi mereka bangkit dan bersalam. Sikap penonton biasanya bermula dari gelagat pemain. Jika pemain melakukan provokasi atau melakukan sesuatu yang tidak elok seperti menyiku, maka penonton akan ikut melakukan perbuatan liar. Itulah yang patut dipelajari oleh Nor Syahrul Idlan Talaha.

Teropong - mengintai-intai penyokong Selangor di stadium

14 October 2010

Sukan Komanwel ke19: Berjaya tetapi terkilan

NEW DELHI- Malaysia menutup tirai Sukan komanwel ke 19 dengan menduduki tangga ke 7 hasil pungutan 12 pingat emas, 10 perak dan 35 gangsa. Ianya adalah pencapaian terbaik sukan Komanwel Malaysia setakat ini dan melepasi sasaran 10 emas yang ditetapkan. Tahniah dari teropong kepada semua ahli kontinjen Malaysia. Keseluruhannya, mereka telah berjaya.

Walaupun begitu, teropong sedikit terkilan. Sepatutnya kita dapat mencapai lebih dari itu. Tetapi apa boleh buat, tuah dan nasib tidak menyebelahi kita. Boling padang yang dijangkakan dapat menyumbang sekurang-kurangnya satu emas tetapi gagal. Pemain paling cemerlang di pusingan awal Siti Zalina akhirnya tersungkur apabila sampai ke peringkat penentuan pingat. Kelip-kelip ku sangka bintang, rupanya bukan.

Skuad badminton, mampu menyapu bersih pingat tetapi gagal dalam acara beregu dan perseorangan wanita. Wong Mew Choo mungkin kehabisan tenaga sehingga terpaksa bermain secara bertahan dengan placing dan hantaran jauh ke belakang dengan harapan lawan membuat kesilapan. Taktik lapuk. Pemain India memilih taktik rally dan smash. Akhirnya Mew Choo yang kecundang. Pemain wanita jelas memerlukan pembaharuan di segi taktik dan stamina. Contohilah cara permainan mereka yang hebat seperti Lin Dan. Jangan tiru permainan mereka yang gagal. Dalam era badminton moden, sejak zaman Datuk Misbun sendiri, sebenarnya tidak ada pemain perseorangan Malaysia yang betul-betul berjaya di peringkat antarabangsa.

Squasy pula hanya gah sebelum berjuang. Nicol memang menepati statusnya bagi acara perseorangan wanita. Pemain lelaki umpama guruh di langit sahaja, kosong. Aneh juga, rupanya gandingan permain terbaik dan baik sebagai beregu campuran gagal menghasilkan yang terbaik.

Teropong - jangan harap kemenangan dari kesilapan lawan, tetapi carilah kemenangan dengan kekuatan sendiri

12 October 2010

Sukan Komanwel ke19: Cukuplah Hafiz hashim

NEW DELHI - Pemain India Kashyap Parupalli telah berjaya menundukkan Hafiz Hashim dalam acara badminton Sukan Komanwel ke 19. Perlawanan peringkat suku akhir itu menyaksikan Hafiz tumpas 19-21, 21-19 dan 16-21.

Tak tahulah berapa ranking pemain India tersebut. Tapi sangat susah sebenarnya nak tengok mereka bertanding dalam kejohanan badminton peringkat tinggi seperti super series. Berbeza dengan Hafiz yang keliling dunia menyertai kejohanan badminton. Walaupun ketinggalan dan akhirnya kalah, Hafiz tetap dengan gaya biasanya 'tiada apa-apa berlaku'

Sebenarnya Hafiz tidak salah bila dia kalah. Yang salahnya ialah BAM. Takkanlah BAM tak perasan yang zaman Hafiz dah lepas. Kalau untuk perlawanan pertunjukan memanglah Hafiz masih sesuai. Tambahan beliau mempunyai pukulan-pukulan  'seni' yang sangat merbahaya kepada diri sendiri. Kalau tak keluar gelanggang ke jaringlah biasanya hinggap pukulan tersebut.

Kalau setakat nak ambil bahagian tak payahlah. Rugi modal. Baik BAM hantar pemain yang muda-muda, mana tau kot-kot ada yang bakal meletup.

Lagi satu, dalam permainan badminton, kalau sayang tenaga untuk smash, baik tak payah main. Setakat drop dan log tu stail lama. Tengok China main, mereka johan dunia..belajarlah. Lin Dan, Chun Lai..base line pun smash. Apa nak sayang tenaga. Tak larat, gantunglah reket. Kalau takat main tipu, tak mati..percayalah.  Peringkat dunia lain..kalau peringkat kampung boleh lah main macam tu.

Teropong - alang bermain biar berhabis

11 October 2010

Sukan Komanwel ke19: Pasukan hoki negara cipta rekod

NEW DELHI - Antara rekod yang dicipta pada temasya Komanwel kali ini ialah rekod kekalahan dengan jaringan 0-7 oleh pasukan hoki negara. Rekod ini dicipta bersama pasukan Autralia yang telah menyumbat 7 gol ke dalam gawang negara.

Pasukan Australia jelas sangat kuat, manakala pasukan negara jelas sangat lemah. Apabila yang kuat bertemu yang lemah maka terjadilah pesta gol tersebut. Ataupun boleh juga disebut kenduri pulut durian. Australia telah menjadikan pasukan Malaysia seperti pulut durian yang mereka makan dengan rakus sekali. 

Nampaknya pasukan hoki pun dah mengikut pasukan bola negara. Makin lama makin menurun. Orang lain makin lama makin kuat. Kalau dulu kita satu 'class' dengan Pakistan dan India. Kini lawan China dan Jepun pun susah nak menang. China dan Jepun ni sebenarnya baru je belajar pegang kayu hoki.

satu lagi perkaitan antara hoki dan bolasepak sekarang ialah ada di antara orang kuat kedua-dua persatuan itu, orang yang sama. Dalam bola pun ada, dalam hoki pun ada. Harap-harap sempatlah nak fikir pasal kedua-dua sukan utama negara tu.

Bukan nak salahkan sesiapa, tetapi sepatutnya semua orang yang terlibat secara langsung dengan hoki negara mempunyai rasa tanggung jawab terhadap kekalahan itu. Pemain, pengurus dan pentadbir persatuan. walau apa pun alasan anda itulah sebenarnya hasil kerja anda.

Teropong - teringat zaman kecik-kecik, main hoki pelepah nibong

09 October 2010

Piala Malaysia 2010: Kelantan mara ke suku akhir

KELANTAN sekali lagi menunjukkan aksi yang mantap untuk membenam KL Plus 4-0. Kelantan terus mengatur serangan sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan. Terpaan dan percubaan bertali arus ke arah kubu KL Plus akhirnya berjaya merobohkan benteng pertahanan lawan melalui Badri radzi.

Kemudian giliran Idlan Talaha pula menjaring gol kedua setelah berjaya melepasi dua orang pertahanan Perlis. Tendangan kaki kiri beliau gagal diselamatkan oleh penjaga gol KL Plus. Beberapa minit berselang sekali lagi Idlan Talaha menjaringkan gol ketiga Kelantan, yang  berpunca dari tendangan sudut.


Pada separuh masa kedua Kelantan melakukan beberapa pertukaran. Rentak permainan juga mula menurun. Dominasi bola kekal dikuasai oleh Kelantan. Akhirnya Rizal Fahmi melengkapkan malam cemerlang bagi Kelantan melalui tendangan dari jarak dekat. KL Plus kelihatan tidak berdaya mmberi saingan yang bermakna. Hanya sesekali mereka berjaya mengacah ke arah pintu gol Kelantan.

Manakala satu lagi perlawanan dalam kumpulan A dimenangi oleh Negeri Sembilan, dengan menewaskan PKNS 3-1. Dengan itu Negeri Sembilan kekal sebagai pendahulu kumpulan A dan Kelantan sebagai pasukan kedua. Pada peringkat suku akhir kelak, Kelantan terpaksa melalui jalan sukar iaitu menentang Selangor.

Teropong - Kekalkan momentum kemenangan

06 October 2010

Piala Malaysia 2010: Kelantan mengamuk di Kota Bharu

KOTA BHARU - Pasukan Kelantan menyedari tiada jalan lain untuk ke suku akhir kecuali dengan memenangi kesemua baki perlawanan. Menyedari hal itu, pemain Kelantan memperagakan aksi kemas dan bertenaga dari sepak mula permainan lagi.

Walaupun cuaca di Kota Bharu hujan renyai-renyai, tetapi pasukan Kelantan terus bergelora dengan serangan yang bertali arus ke kubu PKNS. Akhirnya mereka mendapat gol pertama pada minit ke 28 menerusi Mohd Farisham. Pada separuh masa kedua Kelantan menambah lagi tiga gol menerusi Akmal Rizal pada minit ke 54, Badhri Radzi minit ke 77 dan Indera Putera pada minit ke 81.

Dengan mendapat 3 mata itu, Kelantan melompat ke tempat kedua di dalam kumpulan A dengan jumlah 8 mata mengatasi PKNS yang mengumpul 6 mata di tempat ketiga.

Lain-lain keputusan KL Plus tunduk 1-2 kepada Negeri Sembilan. Dalam kumpulan B, Kuala Lumpur tumpas 0-1 kepada Pahang dan Terengganu membenam Sabah 3-0. Kumpulan C, Perak mengatasi Kedah 1-0 dan Johor FC menundukkan ATM 2-1. manakala dalam kumpulan D, Perlis membelasah T Team 4-1 dan Selangor membalash Felda United juga 4-1.

Teropong - Suspen tunggu perlawanan terakhir kumpulan

Sukan Komanwel ke 19: Pecutan emas dari Josiah Ng

NEW DELHI - Atlit negara nampaknya semakin ghairah dan bersemangat. Sebentar tadi giliran kem lumba basikal negara pula menyumbang emas yang ketiga kepada kontinjen Malaysia melalui pelumba yang agak veteran iaitu Josiah Ng dalam acara keirin. Sehingga kini kita telah mengutip tiga emas.

Memang dari pagi teropong mengikuti siaran lumba basikal melalui astro 801. Kesungguhan dan kebolehan peserta negara memang nampak terserlah. Josiah dan Azizulhasni seakan-seakan telah memberi gambaran penguasaan dan keupayaan mereka. Ini terbukti pada perlumbaan akhir apabila Josiah telah berjaya muncul sebagai juara, mengatasi peserta England dan New Zealand untuk pingat perak dan gangsa.

Bagaimanapun sedikit kontroversi timbul kerana pemenang pertama sebenarnya ialah Azizulhasni, tetapi ianya telah dibatalkan kerana didakwa menilak peserta New Zealand. Apapun kedua-dua mereka memang patut menerima pujian di atas kejayaan ini. Mereka juga telah menunjukkan konsistensi yang baik sejak lebih kurang setahun yang lalu.

Tahniah - Josiah & Azizul; sama gagah sama hebat

Sukan Komanwel ke19: Emas kedua dari Aricco

NEW DELHI - Sukan angkat berat terus cemerlang dengan menyumbang satu lagi pingat emas kepada negara. Pendatang baru Aricco Jumitih telah memenangi acara angkat berat kategori 62 kg dengan jumlah angkatan seberat 257kg.

Ini satu permulaan yang sangat baik bagi Aricco. Siapa sangka namanya akan 'meletup' di New Delhi. Sebelum ini namanya mungkin hanya dikenali oleh peminat sukan tersebut sahaja. Tetapi kini beliau sudah boleh mendabik dada berdiri sebaris dengan atlit negara yang telah mencipta nama di peringkat komanwel. Syabas dan tahniah dari teropong

Teropong - jangan hangat-hangat tahi ayam

05 October 2010

Amirul sumbang emas pertama sukan Komanwel

NEW DELHI - Tahniah kepada Amirul Hamizan kerana telah menyumbangkan pingat emas pertama kepada negara dalam temasya Sukan Komanwel ke 19. Athlit angkat berat yang berasal dari Pahang itu telah berjaya mengumpul jumlah angkatan seberat 257 kg. Tempat kedua dan ketiga dimenangi peserta dari India.

Itulah yang diidamkan oleh seluruh rakyat Malaysia. Prestasi yang baik dan membanggakan dalam acara yang disertai. Sekali lagi tahniah buat Amirul

Teropong - jangan ulang perkara dulu

04 October 2010

Liverpool Parah, Hodgson Gabrah

MALANG bagi Liverpool. Usaha gigih dan kesungguhan yang tinggi belum cukup buat Liverpool untuk mendapat mata penuh ketika melayan pasukan Blackpool di tempat sendiri. Walaupun baru dinaikkan pangkat ke Liga Perdana tetapi Blackpool bijak mencuri peluang untuk mencapai kemenangan 2-1.

Permulaan liga musim ini nampaknya menjadi sangat buruk buat Liverpool. Daripada 7 perlawanan mereka mampu mendapat 6 mata dengan 1 kemenangan sahaja. tangga ke 3 terakhir tentulah amat teruk bagi mereka yang berusaha menebus kegagalan menyertai pasukan elit ke CL musim ini.

Kedudukan ini pastinya turut meletakkan pengurus Roy Hodgson dalam keadaan kritikal. Beliau sudah boleh mengagak masa depan belia di kelab tersebut. Silap percaturan, mungkin beliau akan jadi antara pengurus tersebentar di Liverpool.


Teropong - Hodgson kena belajar dari jurulatih B23 Malaysia cara untuk ambil hati bos

03 October 2010

Keputusan Piala Malaysia 3/10/2010

DI  STADIUM Tuanku Abdul Rahman Paroi - Kelantan dengan gigih berjaya bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 2-2. Walaupun Kelantan lebih menguasai perlawanan, Negeri Sembilan lebih mendapat gol iaitu pada minit ke 25 melalui rembatan kencang S Kunalan. Tetapi selepas itu Negeri Sembilan terpaksa beraksi 10 orang apabila Abd Rahman Zabor dilayangkan kad merah pada minit ke 40.

Pada separuh masa kedua, minit ke 63, Kelantan lebih tertekan apabila Azizi Mat Derus memberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Abdul Halim Zainal. Walaupun kelihatan sangat tertekan Kelantan akhirnya mampu juga memcahkan kebuntuan dengan jaringan dua gol dalam masa 2 minit, minit ke 67 oleh Zairul Fitri dan 69 oleh Akmal Rizal.

Sepanjang perlawanan Kelantan kelihatan lebih bertenaga dan menguasai bola, tetapi agak tumpul dan kekurangan idea di barisan serangan. Negeri Sembilan pula mempamerkan gaya serangan yang lebih tersusun dan merbahaya walaupun lebih tertumpu kepada serangan balas.

Teropong - Sathia kena asah senjata serangan lebih tajam dan lebih bahaya

Malaysia tempat tercorot Piala Eximbank di Vietnam

HO CHI MINH CITY - Malaysia yang diwakili pasukan B23 dipaksa menghuni tangga tercorot dalam Piala Eximbank Millenium Thang Long selepas sekadar seri dalam perlawanan terakhir menentang Singapura. Johannya pula ialah Vietnam yang berjaya menumbangkan Iran 2-1.Bagaimanapun jurulatih K Rajagopal tetap berpuashati dengan persembahan anak buahnya dan berpendapat pasukannya itu sepatutnya menang kalau mereka berjaya menyambar peluang yang ada.

Biasa lah tu jurulatih, kalah macam manapun tetap puas hati.Takkan tak puas hati dengan kerja sendiri. Perkataan 'kalau' memang tak ada penghujungnya. kalau Malaysia masuk Piala Dunia lepas dan menang semua perlawanan, tentu Malaysia dah jadi Johan Piala Dunia pertama dari benua Asia. Betulkan..kalau. Tak ada salahnya..hanya kalau..realitinya memang lah jauh panggang dari api.

Tengok Vietnam..Iran mereka dah dapat lawan. Nampak peningkatan mereka. Mereka sudah mampu bergasak dengan pasukan ternama Asia tetapi kita terpaksa bergelut dengan pasukan makanan kita suatu masa dulu..

Kemana hilangnya taring waktu menang lawan skuad Olimpik Korea baru-baru ini. Ataupun menang baru ni sebab nasib je atau yang lawan baru ni pelapis nombor 4 olimpik Korea??

Teropong- mengakulah Raja yang kita lemah. Tak payahlah pakai perkataan KALAU

01 October 2010

Dasar FAM berkaitan pemain import yang berubah-ubah

SHAH ALAM, 30 Sept  -- Nampaknya FAM akan sekali lagi membuat pusingan U pada tahun 2012. Selalunya pusingan U dibuat oleh orang yang tersesat jalan atau menemui jalan mati. Kedua-duanya adalah perkara yang semua orang taknak. Tetapi FAM ni gemar sangat dengan pusingan yang boleh membawa maut ni.

Pusingan U kali ini adalah berkaitan dengan pengambilan pemain import. Ini berikutan cadangan daripada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPT), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Khamis lepas supaya larangan pengambilan pemain import ditamatkan pada 2011. Ini bermakna awang import akan dibenarkan beraksi selepas itu iaitu pada 2012. Beberapa syarat pengambilan pemain import juga turut dicadangkan. Antaranya pasukan sudah menyelesaikan masalah kewangan mereka sebelum ini seperti tunggakan gaji dan pemain itu mestilah daripada negara yang rankingnya lebih baik berbanding negara Malaysia.

Sebelum ini pemain import pernah dilarang dari beraksi dalam liga tempatan. Kemudian dibenarkan dan pada 2009 sekali lagi pengambilan pemain import dilarang. 2012 nak ambil balik..

Yang jelasnya dasar FAM terhadap pemain import nampak tidak konsisten. Kejap boleh kejap tak boleh. Macam biskut chipsmore. Memang alasan dan logiknya tetap ada tiap kali perubahan dasar tersebut. Alasan dapat dicari, bak kata pepatah nak seribu daya tak nak seribu dalih. Selain Malaysia ada ke nagara di dunia ini yang menghalang pengambilan pemain import. Teropong tak tahulah, sebab negara di dunia ni banyak. Tapi liga-liga yang teropong tahu semuanya membenarkan pengambilan pemain import, cuma ada le syaratnya.

Kalau diteliti betul-betul banyak perkara yang nampak tidak konsisten dalam liga di Malaysia sejak liga semi pro diperkenalkan. Daripada nama yang telah beberapa kali diubah sehinggalah format pertandingan. Yang terakhirnya ialah bagaimana Pahang yang sepatutnya bermain dalam Liga Perdana..begitulah semua orang faham..tiba-tiba diselamatkan dengan penolakan ke atas pasukan Harimau Muda dari menyertai Liga Malaysia. Tempat mereka dalam Liga Super disedekahkan kepada Pahang...Apa formula, apa sifir, apa format yang sampai jadi gitu?

Teropong - harap perubahan dasar kali akan lebih konsisten dan serius

30 September 2010

Selamat datang ke blog ini

Melihat perkembangan, keadaan dan peristiwa dalam dunia sukan hari ini, khususnya sukan tanah air kadang-kadang rasa nak menjerit, tumpang gembira. Kadang-kadang rasa nak menjerit, geram dan marah. Banyak ragam dan kerenah. penuh warna warni. Ada yang berjaya dan cemerlang. Ada yang gagal dan ada yang memualkan. Kadang-kadang airmata teropong meleleh sendiri kerana gembira tengok semangat juang, kesungguhan, kegigihan dan bakat athlit kita. Tapi tak kurang juga yang terpancut keluar kata-kata marah, sampai tumbuk-tumbuk bantal melihat gaya, mutu dan persembahan mereka tu.

Jadi, hari ini teropong buka satu ruangan untuk semua orang menjerit, melaung, merungut, menasihat dan menulis apa-apa sahaja terhadap sukan yang ada. Tetapi mestilah ada batas susilanya. Harapan teropong agar blog ini mampu menjadi medan bersuara peminat sukan. Inilah salah satu cara yang mampu kita lakukan untuk menyumbang dalam perkembangan sukan khusunya sukan tanah air.

Jangan segan dan malu..ayuh kita bersuara. Mungkin idea kita akan sampai kepada mereka yang ingin kita sampaikan..ayuh semua,,sejuta kepala tentulah lebih baik dari satu kepala