30 October 2010

Kelantan Juara Piala Malaysia 2010





TAHNIAH kepada pasukan Kelantan. Mereka berhak menjadi juara. begitu juga penyokong mereka yang tiada tolok bandingnya. Kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan telah menjulang Kelantan ke puncak persada bolasepak tanah air.


Stadium dipenuhi warna merah. Penyokong Kelantan benar-benar menakluki setiap ruang. Walaupun menempuh perjalanan yang jauh tetapi sorakan dan sokongan mereka tak pernah luntur. Tetapi pasukan Kelantan memulakan perlawanan dengan permainan yang bukan seperti biasa. Mereka mudah kehilangan bola dan terpaksa berlari mengejar pemain-pemain Negeri yang lebih bijak dan tangkas menyusun gerakan. Beberapa gerakan Negeri begitu membahayakan sekali ketika pemain Kelantan terkial-kial mencari rentak. Dalam kesibukan itulah, Khairul Fahmi terpaksa menghadiahkan sepakan penalti kepada Negeri. Shaharuain dengan yakin berjaya menempurnakan penalti tersebut.



Pada sbabak kedua, barulah Kelantan menemui rentak mereka. Mereka mula menguasai setiap perebutan bola dan melancarkan serangan yang bertali arus. Malang mula menimpa Negeri apabila aidlil terpaksa dikeluarkan kerana tercedera dalam menampan asakan pemain Kelantan. Peluang itu direbut sebaiknya oleh Kelantan. Hairuddin Omar menaikkan semangat pasukannya apabila menanduk masuk bola lambungan Idlan Talaha. Kemudian giliran Badri Radzi pula membocori gawang Negeri setelah mendapat lorongan kemas dari Farhan. Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat.


Dengan itu terciptalah satu rekod baru bagi bolasepak negeri Kelantan. Setelah mencuba bertahun akhirnya mereka berjaya menggapai piala keagungan tanahair itu. Semuanya hasil dedikasi, kesungguhan dan semangat juang pihak pengurusan, kejurulatihan dan pemain. Dan seperkara lagi yang menyumbang di atas kejayaan itu ialah penyokong mereka. Mereka sentiasa berarak dan memenuhi stadium di mana sahaja pasukan pujaan mereka bermain. Umpama tentera semut merah, aura mereka telah berjaya menaikkan semangat pasukan mereka di dalam setiap perlawanan. Tahniah Kelantan.

Teropong - seronok rakyat Kelantan dapat piala, esoknya dapat cuti umum pulak..kepada penyokong Kelantan yang ke Stadium, hati-hati dalam perjalanan pulang ke Kelantan

No comments:

Post a Comment